Sekolah Dan Polis

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Omar berkata, polis akan menugaskan seorang pegawai polis yang akan bertindak sebagai pegawai perhubungan di setiap sekolah menengah di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menangani gejala salah laku di kalangan pelajar selain mengeratkan hubungan dengan polis.

``Pegawai yang berkenaan bertanggungjawab mengadakan lawatan, ceramah, kempen dan perbincangan di sekolah,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kor Kadet Polis di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Datuk Harun, Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Majlis itu membabitkan 120 pelajar dari sekolah tersebut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Medan.

Turut dilancarkan ialah Kelab Pencegahan Jenayah di kedua-dua sekolah terbabit.

Mohd. Bakri berharap kehadiran polis di sekolah-sekolah tidak dipandang serong oleh mana-mana pihak.

``Polis akan mendampingi masyarakat dari semasa ke semasa tanpa mengira golongan sesuai dengan slogan Mesra, Cepat dan Betul.

``Ini termasuk program bersama guru dan pelajar sekolah dalam membina hubungan yang lebih rapat,'' katanya.

Ahad lalu, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan polis di setiap negeri berucap pada perhimpunan mingguan di sekolah-sekolah menengah dan rendah sebagai usaha menangani gejala samseng dan jenayah di kalangan pelajar.

Mohd. Bakri berkata, kini hampir semua sekolah di seluruh negara telah mempunyai seorang pegawai perhubungan.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0416&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz5fnwioGiC 
© Utusan Melayu (M) Bhd